Tuesday, August 3, 2010

Segerakan penstrukturan air

PUTRAJAYA – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap semua negeri yang belum memuktamadkan rundingan penstrukturan semula bekalan air agar berbuat demikian dengan segera.

Beliau berkata, segala inisiatif yang diambil oleh kerajaan Persekutuan dalam penstrukturan semula industri bekalan air adalah bagi mempertingkatkan mutu perkhidmatannya demi kepentingan pengguna di seluruh negara.

“Bukti yang jelas dapat dilihat di negeri-negeri yang terlebih dahulu berhijrah ke rejim pelesenan baru iaitu Melaka, Negeri Sembilan dan Johor.

“Sejajar dengan fokus kerajaan Pusat untuk menyediakan khidmat yang berkualiti, Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) bersama-sama syarikat air negeri kini sentiasa memastikan keperluan air negeri yang terbabit dijaga dengan terperinci,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian penstrukturan semula bekalan air negeri Perlis di sini semalam.

Pada majlis itu, PAAB diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ahmad Faizal Abdul Rahman manakala kerajaan Perlis diwakili Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azizan Hamid.

Turut hadir ialah Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Md. Isa Sabu; Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui; Pengerusi PAAB, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Wan Abdul Aziz Wan Abdullah.

Muhyiddin berkata, projek seperti Penyaluran Sumber Air ke Estet Rembia dan Loji Rawatan Air Bertam Baru sedang giat dilaksanakan di Melaka bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

Di Negeri Sembilan pula kerja peningkatan kapasiti Loji Air Kuala Jelai dan Talang sedang dilaksanakan manakala projek pembesaran Loji Air Semangar dan kerja memperbaiki pengagihan air di Endau, Mersing juga giat dilaksanakan di Johor.

“Jelas sekali bahawa penghijrahan syarikat air negeri-negeri ke rejim baru di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta IPA) telah banyak mendatangkan faedah kepada kerajaan negeri dan rakyat,” katanya.

Mengenai perjanjian itu, Muhyiddin berkata, ia melibatkan pengambilalihan aset air kerajaan negeri Perlis yang bernilai RM203 juta oleh PAAB dan sebagai balasan PAAB akan mengambil alih liabiliti air kerajaan negeri itu.

Sumber - Kosmo

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...