Friday, July 30, 2010

Liong Sik didakwa tipu kerajaan

PUTRAJAYA - Bekas Menteri Pengangkutan dan mantan Presiden MCA, Tun Dr. Ling Liong Sik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan menipu Kerajaan Malaysia dengan memperdaya Jemaah Menteri berhubung pembelian tanah untuk projek Mega Distribution Hub di Pelabuhan Klang.

Liong Sik, 67, yang memegang jawatan Menteri Pengangkutan selama 17 tahun dari Januari 1986 hingga Mei 2003 didakwa atas satu pertuduhan utama dan satu pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 418 dan Seksyen 417 Kanun Keseksaan.

Thursday, July 29, 2010

Pelaburan auta syarikat MLM

KUALA LUMPUR - Keghairahan golongan muda yang ingin mendapatkan keuntungan cara mudah melalui satu skim jualan langsung (MLM) dengan cara mencari orang bawahan yang mampu melabur sehingga RM41,000 musnah apabila mendapati mereka sebenarnya ditipu.

Modus operandi sindiket tersebut ialah dengan mengedarkan risalah di sekitar kawasan perniagaan dan perumahan di Subang Jaya. Risalah tersebut mengandungi kata-kata manis untuk mengecap kekayaan dengan usaha yang minimum.

Wednesday, July 28, 2010

32 anggota polis KL terlibat dadah

KUALA LUMPUR 28 Julai - Seramai 32 anggota polis dari kontinjen Kuala Lumpur ditahan kerana terlibat dalam kancah penyalahgunaan dadah sejak Januari tahun ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman berkata enam dari mereka telah ditamatkan perkhidmatan manakala yang lain telah digantung kerja sementara menunggu tarikh perbicaraan.

"Kami tidak berkompromi dengan mana-mana anggota mahupun pegawai yang terlibat dalam najis dadah dan tidak teragak-agak untuk menamatkan perkhidmatan mereka meskipun telah berkhidmat lama,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Kuala Lumpur di sini hari ini.

Tuesday, July 27, 2010

Kenderaan berat dilarang masuk lebuh raya


MULAI 2 Ogos ini kenderaan berat tidak dibenarkan melalui tiga lebuh raya di sekitar Lembah Klang pada waktu pagi bagi mengelak kesesakan lalu lintas.

KUALA LUMPUR - Kenderaan berat dilarang memasuki tiga lebuh raya di sekitar Lembah Klang dari pukul 6.30 pagi hingga 9.30 pagi mulai 2 Ogos ini bagi mengurangkan kesesakan.

Larangan tersebut membabitkan laluan Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE) antara Shah Alam dan Jalan Duta, Lebuh Raya Utara-Selatan antara Sungai Buloh dan Bukit Lanjan serta Lebuh Raya Persekutuan Laluan Dua antara Subang dan Sungai Rasau.

Monday, July 26, 2010

Tidak sedar sijil halal penting

STATUS halal penting untuk menarik pelanggan beragama Islam berbuka puasa di sesebuah hotel.

KUALA LUMPUR - Hotel-hotel bertaraf lima bintang yang dimiliki oleh pengusaha bukan Islam didakwa memiliki kesedaran yang minimum terhadap kepentingan untuk mendapatkan sijil halal bagi dapur mereka.

Pengarah Hab Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Saimah Mukhtar berkata, faktor itu merupakan penyebab nisbah hotel yang memiliki sijil halal ketika ini terlalu kecil berbanding jumlah keseluruhan hotel di negara ini.

Sunday, July 25, 2010

Syarat jual 70 peratus barang murah


MELAKA - Setiap premis yang mengadakan jualan murah tidak lama lagi diwajib memastikan sekurang-kurangnya 70 peratus barangan mereka dijual pada harga diskaun.

Syarat itu terkandung dalam cadangan pindaan Peraturan Perihal Dagangan (Harga Jualan Murah) 1997 yang turut mewajibkan pengusaha mengemukakan senarai barangan jualan mengikut harga asal dan harga baru selepas diskaun.

Sebelum ini, peraturan itu hanya menetapkan pengusaha mengemukakan senarai barangan tanpa meletakkan perbandingan harga.

Saturday, July 24, 2010

Sekolah khas untuk pelajar mengandung

MELAKA - Kerajaan negeri Melaka semalam mengemukakan cadangan menubuhkan sekolah khas untuk pelajar mengandung, sama ada mengandung hasil perkahwinan sah atau menerusi perhubungan luar nikah, bagi mengatasi gejala pembuangan bayi sekaligus menyelesaikan isu keciciran dalam pelajaran.

Jika menjadi kenyataan, sekolah itu akan menerima pelajar dari seluruh negara.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, cadangan penubuhan sekolah itu akan dikemukakan kepada Kementerian Pelajaran untuk pertimbangan.

"Kami serius mengenai cadangan ini, jika kementerian tak setuju, kami sendiri akan mengusahakan penubuhannya,'' ujar beliau selepas merasmikan Sekolah Rendah Arab (SRA) Jabatan Agama Islam (JAIM) Batang Tiga Timur di sini semalam.

Friday, July 23, 2010

Pelajar saman restoran terkenal

KLANG - Seorang pelajar kolej swasta semalam menfailkan saman terhadap Artisan Natural (M) Sdn. Bhd. dan Kopitiam Asia Pacific Sdn. Bhd. yang didakwa cuai sehingga menyebabkan hidangan mi goreng yang dimakannya mengandungi sepasang kaki katak.

Writ saman itu difailkan oleh plaintif, Aliff Shanaz Hairi Hariharan, 24, menerusi Tetuan Adnan Rahim & Co. di pejabat pendaftar Mahkamah Sesyen di sini.

Palintif menamakan Artisan Natural iaitu sebuah syarikat yang didakwa mengusahakan perniagaan restoran makanan dan minuman dinamakan Old Town White Coffee yang beroperasi Bandar Bukit Tinggi di sini sebagai defendan pertama.

Thursday, July 22, 2010

Penjaja Rope Walk tak mahu pindah

GEORGE TOWN - Seramai 288 penjaja dan peniaga kecil Rope Walk, Lorong Kulit di sini menolak cadangan penyusunan semula tempat penjaja oleh Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) yang mahukan sebahagian mereka dipindahkan ke Jalan Perak di sini.

Pengerusi Persatuan Penjaja-penjaja dan Peniaga-peniaga Kecil di situ, Yeoh Beng Hock berkata, cadangan itu akan menjejaskan pendapatan kerana mereka pernah dipindahkan pada tahun 2002 dan perniagaan mereka telah merosot begitu teruk.

Terumbu karang di Malaysia mula mati

LANGKAWI - Sebanyak 12 lokasi pelancongan - sembilan pulau taman laut dan tiga pulau lain yang kesemuanya di Kedah, Terengganu dan Pahang - terpaksa ditutup sehingga 31 Oktober ini berikutan kejadian pelunturan karang.

Fenomena yang menunjukkan tanda-tanda karang tertekan dan mungkin akan mati itu semakin meluas, malah ia mencapai status 90 peratus bagi sesetengah kawasan terumbu yang terjejas.

Tuesday, July 20, 2010

Ramai pelanggan pilih alat tiruan

KUALA LUMPUR - Persatuan Pemilik Bengkel Malaysia (FAWOAM) mengakui kebanyakan bengkel menggunakan alat-alat ganti tiruan disebabkan permintaan pelanggan sendiri yang mahu berjimat ketika menyelenggara kenderaan mereka.

Presidennya, Kong Wai Kwong berkata, kebanyakan 2,700 ahli persatuan itu di seluruh negara mempunyai polisi memberi pilihan kepada pelanggan sama ada menggunakan alat ganti tulen atau tiruan berdasarkan kemampuan kewangan masing-masing.

Monday, July 19, 2010

Pengguna menempah maut

KUALA LUMPUR - Mungkin ramai yang tidak percaya bahawa hampir sembilan juta kenderaan di negara ini terdedah kepada kemalangan jalan raya berikutan penggunaan alat ganti tiruan yang berleluasa.

Jumlah tersebut yang meliputi 80 peratus daripada kira-kira 11 juta kenderaan di negara ini mungkin kelihatan melampau dan seolah-olah sengaja mahu menakut-nakutkan pengguna tetapi itulah hakikatnya.

Apa yang lebih menyedihkan ialah tauke-tauke kedai alat ganti tidak bertanggungjawab itu menipu pengguna supaya membeli alat ganti tiruan yang bisnesnya dianggarkan bernilai RM1 bilion setahun.

Sunday, July 18, 2010

Haram pakai jersi lambang salib

KUALA LUMPUR – Pemakaian jersi bola sepak atau sebarang pakaian yang memiliki lambang salib, jenama arak dan imej syaitan adalah haram hukumnya dan boleh menjurus kepada perbuatan syirik.

Penasihat Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Datuk Nooh Gadot berkata, perkara tersebut ditegah oleh Islam dan perbuatan mengabaikan hukum yang sudah jelas boleh membawa umat Islam ke arah syirik.

Beliau berkata, memakai baju seperti itu walau apapun alasannya menunjukkan umat Islam seolah-olah mengagung-agungkan dan memuliakan lambang agama lain.

“Semua mengetahui hukum ini dengan jelas, ia adalah haram dan jangan beri alasan untuk menghalalkan perkara tersebut.

Saturday, July 17, 2010

Orang muda boros berbelanja

PETALING JAYA - Generasi muda di negara ini dikenal pasti sebagai golongan yang boros berbelanja jauh daripada kemampuan kewangan sebenar mereka, kata Ketua Pegawai Eksekutif, Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk Paul Selvarajah.

Katanya, trend yang membimbangkan itu berpunca daripada gaya hidup yang tidak sihat, berbelanja terhadap barangan yang tidak perlu dan pengaruh rakan sehingga mendorong mereka berbelanja lebih daripada yang sepatutnya.

Friday, July 16, 2010

Sungai Selangor makin terancam

HULU SELANGOR - Meskipun aktiviti melombong pasir di kawasan seluas lapan hektar di Kampung Chuang, Rasa di sini didakwa dihentikan sejak April lalu, namun kerja-kerja melombong di situ telah meninggalkan kerosakan ekosistem dan struktur permukaan tanah di kawasan berkenaan.

Tinjauan Kosmo! mendapati aktiviti perlombongan yang berlangsung selama lapan bulan di situ bukan sahaja telah merosakkan kawasan hutan dan permukaan tanah, malah dibimbangi bakal menjejaskan Sungai Selangor kerana sungai itu terletak cuma kira-kira tujuh meter dari tapak perlombongan.

Thursday, July 15, 2010

Kerja korek pasir haram di Hulu Selangor

HULU SELANGOR - Satu lagi kegiatan melombong pasir yang dipercayai beroperasi secara haram di atas tanah milik kerajaan negeri Selangor didedahkan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo semalam.

Kali ini aktiviti mengorek pasir dijalankan di sebuah kawasan seluas kira-kira lapan hektar di tepi Sungai Selangor berhampiran Kampung Chuang, Rasa yang didakwa beroperasi sejak tiga bulan lalu.

Wednesday, July 14, 2010

Taktik licik kerajaan Selangor

SHAH ALAM - Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar (gambar) mendakwa kerajaan negeri Selangor berniat mengelak menyediakan laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) ketika memohon kelulusan untuk mengorek pasir di kawasan berhampiran taman rekreasi Paya Indah Wetlands, Dengkil, Sepang.

Beliau berkata, mengikut peruntukan undang-undang, mana-mana kawasan yang keluasannya melebihi 50 hektar wajib menyediakan laporan EIA sebelum Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) diluluskan.

Tuesday, July 13, 2010

Pembongkaran baru skandal pasir

SHAH ALAM - "Selepas ini lebih banyak lokasi aktiviti perlombongan pasir haram di Selangor akan saya dedahkan."

Demikian tegas Ketua Pembangkang di Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) selepas diminta mengulas mengenai laporan akhbar semalam mengenai pendedahan beliau tentang aktiviti perlombongan pasir haram yang dipercayai dilakukan di tanah milik kerajaan negeri itu berhampiran taman rekreasi Paya Indah Wetlands, Dengkil dekat sini.

Menurut beliau, aktiviti tersebut juga berlaku di beberapa daerah di negeri itu.

Monday, July 12, 2010

Sampah punca kuman tersebar

KUANTAN - Pencemaran fizikal dan kekotoran di sekitar kawasan Hutan Lipur Lubuk Yu di Maran dekat sini berkemungkinan besar punca utama penyebaran kuman leptospirosis (air kencing tikus).

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Kesihatan Pahang, Datuk Hoh Khai Mun (gambar) berkata, sisa-sisa sampah itu menjadi tumpuan tikus dan punca ia merebak di sekitar kawasan berkenaan.

Beliau berkata, melalui siasatan awal Jabatan Kesihatan, mendapati banyak sisa makanan daripada aktiviti perkelahan pengunjung yang mencemari kawasan riadah sehingga menyebabkan tanah tercemar.

Sunday, July 11, 2010

Meja bulat mansuh UPSR, PMR

MARANG – Perbincangan meja bulat antara Kementerian Pelajaran dan pihak-pihak yang berkenaan berhubung cadangan pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) akan diadakan pada 17 Julai ini.

Perkara tersebut dinyatakan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi bagi mendengar cadangan daripada semua pihak sebelum keputusan dibuat.

“Setakat ini, Majlis Guru Besar, Majlis Permuafakatan Guru-Guru dan Majlis Pengetua memberi pandangan yang amat positif tentang cadangan ini.

“Mereka bersetuju kedua-dua peperiksaan itu dihapuskan dan diberi penekanan terhadap satu peperiksaan utama sahaja iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya ketika ditemui di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Wakaf Tapai di sini semalam.

Sumber – Kosmo

Saturday, July 10, 2010

Masjid medan promosi ah long

KUALA LUMPUR - Sebelum ini, 'profesion' ah long selalunya dikaitkan dengan kaum Cina yang memonopoli kerjaya itu.

Modus operandi mereka biasanya mengenakan bunga yang mencekik darah dan sinonim dengan taktik ganas bagi mendapatkan bayaran balik daripada peminjam.

Terbaru, sindiket berkenaan dikesan bersekongkol dengan ah long-ah long Melayu dengan mengedarkan risalah-risalah promosi pinjaman di tempat-tempat tertentu yang menjadi tumpuan orang ramai.

Malah ketika orang Islam menunaikan solat Jumaat di beberapa tempat di sekitar Lembah Klang semalam, risalah-risalah dikepil pada kereta ketika mereka bersolat.

Friday, July 9, 2010

KTMB buka lima lagi stesen komuter baru di ibu kota


GOMBAK - Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) terus komited meningkatkan taraf sistem pengangkutannya dengan membuka lima lagi stesen komuter baru melibatkan perjalanan dari Sentul ke Batu Caves bermula 31 Julai ini.

Mulai tarikh itu, perjalanan bagi laluan itu diperluaskan lagi ke tiga lokasi baru iaitu di Batu Kentomen, Kampung Batu dan Taman Wahyu selain Sentul dan Batu Caves.

Thursday, July 8, 2010

Carrefour nafi tutup operasi


KUALA LUMPUR – Carrefour Malaysia dan Singapura berkata, perniagaannya dijalankan seperti biasa di semua cawangannya di sini dan republik tersebut.

Menafikan penutupan kedai di Malaysia dan Singapura, pasar raya besar itu menjelaskan, empat cawangan Carrefour telah dibuka untuk perniagaan di Malaysia tahun ini dan empat lagi dijadualkan dibuka menjelang akhir tahun.

Carrefour berkata demikian dalam satu kenyataan berhubung laporan berita baru-baru ini bahawa ia kini dalam peringkat awal penjualan unit-unitnya di Malaysia, Thailand dan Singapura yang akan mengumpulkan sebanyak AS$1 bilion, serta merancang untuk menutup operasinya di negara-negara ini.

Sumber – Bernama

Wednesday, July 7, 2010

Pemandu bebal punca kemalangan

KUALA TERENGGANU - Sikap bebal pemandu yang sengaja melanggar pelbagai peraturan jalan raya dikenal pasti menjadi punca utama peningkatan kadar kemalangan di negara ini.

Penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim berkata, golongan itu sering memandu sesuka hati tanpa menghiraukan keselamatan orang lain sekali gus menghalang usaha kerajaan untuk mengurangkan kadar kemalangan.

"Orang yang layak dikategorikan sebagai pemandu bebal ialah mereka yang melanggar peraturan jalan raya sesuka hati.

Tuesday, July 6, 2010

ETS mula operasi hujung bulan

KUALA LUMPUR - Setelah hampir dua tahun menunggu, orang ramai akhirnya berpeluang menggunakan perkhidmatan tren terpantas negara, Set Tren Elektrik (ETS) yang dijangka mula beroperasi sepenuhnya pada penghujung bulan ini.

Menurut Presiden Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Dr. Aminuddin Adnan, keputusan itu dicapai setelah lima set ETS dengan enam gerabak setiap satu menggunakan teknologi Jepun sampai ke tanah air pada Februari lalu. Gerabak-gerabak itu dibuat di Korea Selatan.

Monday, July 5, 2010

Ejen nikah boleh didakwa bersubahat

KUALA LUMPUR - Tindakan ejen termasuk pengendali laman web tertentu yang memberi perkhidmatan kepada pasangan untuk bernikah di luar negara tanpa kebenaran boleh dianggap bersubahat dan didakwa.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Mohamad Isa Abd. Ralip berkata, ada beberapa kes pasangan yang bernikah di luar negara tanpa kebenaran didakwa bersama pihak lain seperti saksi atas kesalahan bersubahat.

Sunday, July 4, 2010

Guna Internet tawar pakej

RAKYAT negara ini hanya perlu mengakses Internet bagi mendapatkan ejen yang akan menguruskan pernikahan mereka di selatan Thailand.

KUALA LUMPUR - Kewujudan ejen-ejen tempatan yang menguruskan perkahwinan pasangan Islam secara rahsia dipercayai punca semakin ramai rakyat tempatan termasuk selebriti dan orang kenamaan bernikah di selatan Thailand.

Tinjauan Kosmo! Ahad mendapati, terdapat pelbagai laman web memaparkan pakej yang ditawarkan oleh ejen tersebut berpusat di Perak dan Lembah Klang tanpa memerlukan pasangan terbabit menguruskannya sendiri di selatan Thailand.

Dengan kadar bayaran di antara RM1,000 hingga RM3,000, rakyat negara ini yang mahu bernikah di Songkhla, Narathiwat, Yala dan Patani diuruskan sepenuhnya oleh ejen tersebut di negara ini.

Saturday, July 3, 2010

Bancian bermula 6 Julai

KUALA LUMPUR - Orang ramai diminta memberi maklumat yang tepat kepada petugas Jabatan Perangkaan Malaysia yang akan menjalankan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2010 mulai 6 Julai hingga 22 Ogos ini.

Jabatan itu dalam kenyataannya memberitahu, seramai 30,000 tenaga kerja dilantik secara sambilan untuk bancian selama 48 hari di seluruh negara.

"Segala maklumat yang diberi individu dijamin sulit serta tidak boleh dihebohkan dan kerajaan akan menggunakan hasil maklumat untuk perancangan pembangunan sosio-ekonomi negara.

Friday, July 2, 2010

Isu mansuh UPSR, PMR diputus tahun ini

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan memastikan bahawa keputusan sekiranya Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) wajar dimansuhkan dibuat pada tahun ini juga.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusannya akan dibuat dalam masa satu atau dua bulan selepas tamat beberapa siri perbincangan meja bulat dengan pihak berkepentingan yang dirancang dalam masa terdekat.

"Kita akan buat keputusan cepat, saya sudah minta Ketua Pengarah Pelajaran susun beberapa siri perbincangan di peringkat meja bulat, pihak-pihak yang ada kepentingan dipelawa untuk beri pandangan walaupun kita sudah buat kajian lama mengenainya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pendidikan Prasekolah Kebangsaan 2010 di sini semalam.

Sumber – Kosmo

Thursday, July 1, 2010

Saman RM2.7 bilion gagal dikutip


ANGGOTA polis trafik mengeluarkan saman kepada seorang pesalah lalu lintas. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Kira-kira RM2.7 bilion daripada 16.5 juta saman tertunggak lalu lintas gagal dikutip kerajaan antara tahun 2000 dan 2008, kata Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...