Tuesday, July 13, 2010

Pembongkaran baru skandal pasir

SHAH ALAM - "Selepas ini lebih banyak lokasi aktiviti perlombongan pasir haram di Selangor akan saya dedahkan."

Demikian tegas Ketua Pembangkang di Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) selepas diminta mengulas mengenai laporan akhbar semalam mengenai pendedahan beliau tentang aktiviti perlombongan pasir haram yang dipercayai dilakukan di tanah milik kerajaan negeri itu berhampiran taman rekreasi Paya Indah Wetlands, Dengkil dekat sini.

Menurut beliau, aktiviti tersebut juga berlaku di beberapa daerah di negeri itu.

"Kita kenal pasti kegiatan itu paling banyak berlaku di daerah Sepang, Kuala Langat, Kuala Selangor, Hulu Langat dan Hulu Selangor tetapi bilangan sebenar tidak dapat dipastikan tetapi berpuluh juga jumlahnya," kata beliau.

Menurut beliau, wartawan akan dibawa melihat bagaimana kegiatan itu memusnahkan sebatang sungai di negeri ini pada Rabu nanti (esok).

Semalam, beberapa media cetak melaporkan kegiatan melombong pasir di Selangor yang semakin tidak terkawal apabila 20 hektar tanah terletak kira-kira 50 meter dari taman rekreasi Paya Indah Wetlands di Dengkil diceroboh bagi mendapatkan hasil tersebut.

Aktiviti yang dipercayai dilakukan di atas tanah milik kerajaan itu disedari sejak dua minggu lalu dan dikatakan 10 juta tan metrik pasir dianggarkan bernilai RM220 juta sudah dikorek.

Dalam pada itu, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kegiatan melombong pasir berdekatan taman rekreasi Paya Indah Wetlands itu mempunyai permit sah dan dikendalikan oleh Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. (KSSB).

Malah, beliau turut mendakwa, lokasi sebenar kegiatan melombong pasir itu adalah di Kampung Olak Lempit, Mukim 12, Kuala Langat dan bukannya Bukit Changgang sebagaimana yang dilaporkan akhbar.

Mengulas mengenainya, Abdul Khalid berkata, permit melombong pasir itu dikeluarkan oleh pentadbir tanah Kuala Langat sejak Januari lalu selepas mendapat kelulusan Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya, Jabatan Mineral dan Geosains, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Majlis Daerah Kuala Langat dan Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Langat.

"Kelulusan ini diperoleh selepas Skim Melombong dan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) diluluskan jabatan-jabatan ini dan operasi melombong pula dijalankan selepas JAS dan LUAS berpuas hati dengan EMP yang disediakan oleh pihak KSSB.

"Antara kandungan EMP adalah operasi perlombongan KSSB tidak menjejaskan alam sekitar termasuk di Paya Indah Wetlands," katanya ketika ditemui pemberita di Dewan Annex di sini semalam.

Sumber – Kosmo

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...