Sunday, September 19, 2010

Patmanaban simpan wanita asing

KUALA LUMPUR - Peguam K. Patmanaban yang tahanan remannya dilanjutkan sehingga 25 September ini didapati menyimpan dua pekerja wanita warga asing yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Dua wanita terbabit ialah seorang wanita warga Indonesia dan seorang rakyat Filipina berusia lingkungan 30-an.

Kedua-dua wanita itu dipercayai diambil bekerja oleh Patmanaban sebagai pembantu rumah yang menguruskan semua kerja rumah di ladang ternakan ayam dan kambing di Ladang Gadong, Tanjung Sepat, Banting. Ladang Gadong ialah lokasi jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya bersama tiga rakannya dibunuh.

Saturday, September 18, 2010

Taktik Lupus Bahan Bukti

PERISTIWA pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, 47, dan tiga individu lain di Ladang Gadong dekat Tanjung Sepat, Banting, Selangor telah menyentak perasaan jutaan rakyat Malaysia.

Pembunuhnya dianggap kejam dan bersifat kebinatangan. Kesemua mangsa dipercayai dibunuh seorang demi seorang menggunakan besi pencangkuk dan tikaman bertubi-tubi pada perut.

Mayat mereka kemudian dibakar manakala abu mayat dibuang ke dalam sungai berhampiran.

Turut dibunuh bersama Sosilawati ialah pemandu peribadi, Kamaruddin Shansudin, 44, peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38.

Friday, September 17, 2010

Kes Sosilawati tiada unsur perkauman

BANTING – Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar yang baru memegang tampuk kepimpinan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam berkata, siasatan kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lelaki lain dilakukan tanpa sebarang unsur perkauman.

“Kes siasatan Sosilawati adalah kes jenayah biasa kerana ada penjenayah dan ada mangsa,” kata beliau pada sesi dialog bersama pemimpin masyarakat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di sini semalam.

Thursday, September 16, 2010

Tiada pembunuh upahan terlibat

KUALA LUMPUR - Pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, 47, dan tiga yang lain tiada kaitan dengan kumpulan pembunuh upahan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Zinin berkata, pihaknya setakat ini percaya pekerja-pekerja kepada seorang lelaki bergelar Datuk terlibat secara langsung dalam pembunuhan empat mangsa itu.

Wednesday, September 15, 2010

Penyelam temui zink pelapik mayat

BANTING - Pasukan penyelam polis semalam menemui enam keping zink di dasar Sungai Kanchong Laut di Kampung Endah, Ladang Gadong, Tanjung Sepat disini yang dipercayai dijadikan sebagai pelapik untuk membakar mayat Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya. 

Bahan bukti itu ditemui selepas tiga suspek yang dibawa ke sungai itu menunjukkan lokasi zink-zink tersebut dibuang selepas selesai membakar mayat Sosilawati dan rakan-rakannya.

Tuesday, September 14, 2010

Sosilawati dikebumi di kampung

BATU PAHAT - Keluarga arwah Datuk Sosilawati Lawiya, 47, berhasrat untuk mengebumikan jutawan kosmetik di kampungnya, di Kampung Seri Menanti, Sri Medan di sini.

Adik iparnya, Misjan Jamikan, 48, berkata, perkara tersebut telah dibincangkan bersama ahli keluarga termasuk anak-anak arwah di Kuala Lumpur malam kelmarin.

"Saya mahu arwah disemadikan dengan sempurna dan kematian itu perlu ada tanda (kubur) agar kami boleh menziarahinya.

Monday, September 13, 2010

4 mengaku bunuh, bakar Sosilawati

BANTING - Empat pekerja ladang buah-buahan dan ternakan milik seorang peguam bergelar Datuk mengaku terlibat membunuh dan membakar Datuk Sosilawati Lawiya, 47, dan tiga lelaki bersama jutawan kosmetik itu di Ladang Gadong, Tanjung Sepat di sini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Zinin berkata, berdasarkan pengakuan empat daripada lapan lelaki yang ditahan reman itu, polis kemudian berjaya menemui lokasi empat mangsa yang dipercayai ditahan, dibunuh dan dibakar di ladang ternakan tersebut.

Sunday, September 12, 2010

Sosilawati, tiga lagi mati disah dibunuh

BANTING – Polis mengesahkan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, 47, dan tiga orang lagi mati dibunuh dan kesemua mayat mereka dibakar sebelum abunya dibuang di sebuah sungai berhampiran Ladang Gadong, Tanjong Sepat di sini.

Bagaimanapun, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Zinin berkata, polis masih perlu mendapatkan pengesahan forensik untuk mengesahkan sepenuhnya perkara tersebut.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Daerah Banting di sini hari ini.

Saturday, September 11, 2010

Mayat dibakar di ladang ayam

KUALA LUMPUR – Empat mayat dipercayai termasuk jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya (gambar) dan tiga rakannya yang dilaporkan hilang sejak 13 hari lalu ditemui dekat pantai Morib, Selangor semalam.

Kesemua mereka dibunuh dengan kejam sebelum dibuang dan dibakar di ladang ternakan ayam dekat Tanjung Layang, Morib.

Setakat ini polis sudah menahan enam individu berhubung penemuan mayat-mayat tersebut.

Friday, September 10, 2010

Anak-anak setia menunggu Sosilawati beraya di Gombak

Seorang lelaki yang mendakwa sebagai pekerja kepada jutawan kosmetik itu berkata, buat masa ini anak-anak Sosilawati tidak mahu diganggu kerana mereka tertekan memikirkan nasib ibu mereka yang belum diketahui.

“Walaupun tidak ada khabar berita mengenai ibu mereka anak-anak Sosilawati masih mengharap mereka dapat raya bersama di rumah ini,” katanya yang enggan bercerita lanjut.

Thursday, September 9, 2010

Serangan laman web meningkat masa cuti raya

KUALA LUMPUR - Pemilik laman-laman web dinasihatkan mengambil langkah berjaga-jaga sepanjang musim perayaan kerana serangan laman web dijangka akan meningkat.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam satu kenyataan akhbar berkata, peningkatan serangan itu kerana kebanyakan laman web yang beroperasi tidak akan dipantau ketika musim perayaan.

"Pada tahun 2009 seperti contoh, serangan ke atas laman-laman web ini meningkat semasa cuti perayaan seperti Aidilfitri.

"Jadi pemilik-pemilik laman web harus meningkatkan ciri-ciri keselamatan dan aplikasi yang berkaitan bagi mengelakkan risiko digodam oleh pihak yang tidak bertanggungjawab," katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini semalam.

Wednesday, September 8, 2010

Polis percaya jutawan kosmetik masih selamat

SHAH ALAM - Polis percaya Datuk Sosilawati Lawiya yang dilaporkan hilang bersama tiga lelaki pada 30 Ogos lalu berada dalam keadaan selamat.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan (gambar) berkata, hasil pemeriksaan ke atas dua buah kereta yang dijumpai di Subang Jaya dekat sini malam kelmarin tidak menemui sebarang unsur mencurigakan.

"Kita sudah temui kereta mangsa dan setakat ini tiada tanda-tanda mencurigakan," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Perbarisan dan Perjumpaan Polis Selangor sempena persaraan beliau di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini semalam.

Tuesday, September 7, 2010

Penemuan beri petunjuk

SUBANG JAYA - Tanda tanya mengenai kehilangan Datuk Sosilawati Lawiya bersama tiga rakan semakin terurai misterinya apabila polis menemui dua buah kereta milik mereka yang menjadi petunjuk baru dalam siasatan pihak berkuasa itu.

Kereta milik Sosilawati jenis BMW X5 menggunakan nombor pendaftaran WTL 11 berwarna hitam ditemui di kawasan letak kereta Flat Angsana USJ1 di sini pukul 9.45 malam tadi oleh orang awam.

Monday, September 6, 2010

Jutawan kosmetik hilang bersama wang RM4 juta

KUALA LUMPUR - Jutawan kosmetik terkenal, Datuk Sosilawati Lawiya menimbulkan misteri apabila dia dan tiga yang lain dilaporkan hilang enam hari lalu selepas keluar dari sebuah pejabatnya di Kampung Baru di sini pada 30 Ogos lalu.

Turut hilang bersama Sosilawati yang merupakan pengarah urusan dan pengasas syarikat produk kecantikan Nouvelles Visage itu ialah seorang peguam, pegawai bank dan pemandu wanita itu.

Sunday, September 5, 2010

Siswa dinasihat hati-hati guna Facebook

JOHOR BAHRU - Kementerian Pengajian Tinggi menasihatkan mahasiswa supaya berhati-hati menggunakan laman sosial Facebook dan memastikan maklumat yang dikongsi tidak memudaratkan mereka.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (gambar) berkata, ini kerana laman sosial itu kini boleh dilihat sebagai 'menelanjangkan' cerita peribadi seseorang.

Selain itu, kegilaan menggunakan laman sosial itu untuk berinteraksi di kalangan masyarakat sekarang juga boleh disalah guna pihak tidak bertanggungjawab untuk menyamar sebagai individu tertentu, katanya kepada pemberita di sini semalam.

Saturday, September 4, 2010

Gereja gay tak diiktiraf

KUALA LUMPUR - Tindakan seorang paderi, Ouyang Wen Fang menubuhkan sebuah gereja pertama yang dikhususkan untuk golongan gay di negara ini ternyata kurang disenangi Majlis Gereja-Gereja Malaysia.

Setiausaha Agungnya, Dr. Hermen Shastri (gambar) berkata, cadangan Wen Fang itu tidak disenangi kerana ajaran agama Kristian sememangnya tidak mengiktiraf golongan gay.

"Saya berpandangan apa yang cuba dilakukan oleh paderi berkenaan adalah disebabkan dia terpengaruh dengan gereja untuk golongan gay yang telah dibina di beberapa buah negara di Barat seperti Amerika Syarikat.

Friday, September 3, 2010

Gereja gay pertama

KUALA LUMPUR - Seorang paderi di Malaysia, Ouyang Wen Fang mengumumkan bahawa dia sedang menubuhkan gereja gay pertama di negara ini.

Paderi berusia 40 tahun itu turut tidak mengendahkan amaran keras kerajaan supaya menghentikan rancangannya kerana bimbang ia akan menggalakkan gaya hidup homoseks di negara ini.

Amalan tersebut masih dikategorikan sebagai jenayah di Malaysia yang majoriti penduduknya beragama Islam manakala pelakunya berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun.

Namun, gereja gay yang diasaskan bersama oleh paderi itu telah beroperasi secara senyap di sini sejak tiga tahun lalu dengan dikunjungi kumpulan penganut Kristian gay untuk beribadat pada hari Ahad dan mengkaji kitab Injil.

Thursday, September 2, 2010

Pemilik premis tanggal logo halal

KUALA LUMPUR - Melihat pemeriksaan mengejut Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) terhadap sebuah premis makanan di sebuah medan selera di pusat beli-belah Pavillion di sini, beberapa pengusaha premis makanan lain bergegas menanggalkan logo dan sijil halal bukan diiktiraf jabatan itu dari dinding premis mereka.

Pengarah Cawangan Pemantauan dan Penguatkuasaan Bahagian Hab Halal Jakim, Amri Abdullah berkata, tindakan itu dipercayai untuk mengelak premis mereka diambil tindakan kerana menggunakan logo dan sijil halal yang bukan dikeluarkan Jakim.

Wednesday, September 1, 2010

Taktik baru elak ditangkap khalwat

SHAH ALAM – Sepasang kekasih membayar RM140 untuk menyewa dua bilik berasingan di sebuah hotel bajet di Bandar Sunway, Petaling Jaya dekat sini awal pagi semalam bagi mengelak daripada dikesan melakukan khalwat.

Bagi mengaburi pihak berkuasa, pasangan berasal dari pantai timur berusia 20-an itu mematikan pendingin hawa serta lampu bilik dan sanggup membuat maksiat di dalam bilik yang panas.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...