Friday, September 17, 2010

Kes Sosilawati tiada unsur perkauman

BANTING – Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar yang baru memegang tampuk kepimpinan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam berkata, siasatan kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lelaki lain dilakukan tanpa sebarang unsur perkauman.

“Kes siasatan Sosilawati adalah kes jenayah biasa kerana ada penjenayah dan ada mangsa,” kata beliau pada sesi dialog bersama pemimpin masyarakat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di sini semalam.

Lawatan Ismail ke Banting merupakan lawatan pertama beliau ke Selangor sejak beliau mengambil alih pucuk pimpinan sebagai Ketua Polis Negara pada 13 September lalu.

Menurut beliau, polis masih lagi menjalankan siasatan berhubung pembunuhan Sosilawati bersama tiga mangsa itu. Polis juga sedang menunggu keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Dalam kejadian menggemparkan itu, selain jutawan kosmetik yang dibunuh, turut menjadi mangsa kekejaman sama ialah pemandu, Kamarudin Shansudin, 44, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pegawai bank, Noorhisham Mohammad, 38.

Sumber - Kosmo

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...