Friday, February 14, 2014

Lembah Klang bakal hadapi masalah air

HULU SELANGOR - Penduduk Lembah Klang termasuk Putrajaya bakal berhadapan masalah bekalan air bersih yang kritikal jika cuaca panas yang melanda negara ketika ini berlarutan tiga minggu lagi.

Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata jika berterusan, paras air di Empangan Sungai Selangor dan Klang Gate yang ketika ini mempunyai simpanan air kurang daripada 60 peratus akan terus merosot, sekali gus memberi kesan besar kepada kira-kira dua juta pengguna yang bergantung kepada sumber air dari kawasan tadahan itu.

Tuesday, February 11, 2014

Pelancong mati jatuh Gunung Kinabalu

Ranau: Hasrat seorang pelancong wanita warga Jerman merakam gambar keindahanmatahari terbit di puncak Gunung Kinabalu sebagai kenangan berakhir tragedi apabila mangsa tergelincir lalu terjatuh pada ketinggian hampir 30 meter dari puncak gunung itu, semalam.

Kejadian berlaku apabila mangsa dikenali sebagai Viktoria Paulsen, 22, dipercayai sedang merakam gambar pada ketinggian itu dari puncak setinggi 4.095 meter dari paras laut, kira-kira jam 6.30 pagi.



Difahamkan, ketika kejadian, mangsa dipercayai melangkah keluar dari kabel keselamatan sebelum tiba-tiba tergelincir apabila batu dipijak mangsa bergolek dan terjatuh ke lurah pada ketinggian kira-kira 30 meter.

“Taman-Taman Sabah dimaklumkan mengenai kejadian itu pada jam 7 pagi dan sepasukan anggota penyelamat dikejarkan ke lokasi kejadian untuk membantu mangsa.

“Pasukan berkenaan turut dibantu jurupandu gunung terpaksa menuruni lurah sejauh kira-kira 30 meter untuk mengambil mayat mangsa,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, sebelum mendaki, semua pendaki akan diberikan taklimat mengenai langkah keselamatan dan perkara yang dilarang sepanjang pendakian ke puncak.



Pengurus Taman (Penguatkuasaan dan Perlindungan) Taman-Taman Sabah Thomas Yussop berkata, mangsa mendaki gunung bersama empat rakan lelaki lain sejak kelmarin dan tiba di puncak gunung itu, kira-kira jam 6 pagi semalam.

Beliau berkata, sebelum ini pernah berlaku kes lain di sepanjang laluan pendakian tetapi ini kes pertama membabitkan kematian dilaporkan di sekitar kawasan puncak. “Perkara ini tidak disangka kerana ketika kejadian cuaca baik,” katanya.

Saturday, February 8, 2014

Isu soalan seks: Langkah cegah masalah sosial

SEREMBAN – Soalan kaji selidik yang diedarkan di sekolah rendah merupakan sebahagian daripada program Saringan Kesihatan Remaja, yang dibangunkan oleh Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga (PKK) Kementerian Kesihatan Malaysia, dan bukanlah satu kajian semata-mata.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Datuk Dr Zailan Adnan berkata, soalan yang dibuat itu disediakan sendiri oleh pakar dalam bidang masing-masing, bagi mencegah masalah sosial yang berlaku dalam kalangan remaja di negara ini.

Katanya, hasil daripada soal selidik itu, pihaknya akan mengambil tindakan bagi membantu pelajar bermasalah, mengikut keperluan masing-masing, sama ada berjumpa dengan Pakar Kaunseling, mahupun dirujuk kepada Pakar O&G atau Pakar Sakit Puan.

“Soalan saringan kesihatan yang dikemukakan itu bukanlah sesuatu yang luar biasa kerana ia dilaksanakan dan diguna pakai di seluruh negara sejak tiga tahun lalu, oleh Kementerian Kesihatan, bukan di Negeri Sembilan sahaja.

“Namun ingin saya tegaskan, soalan ini hanya dijawab oleh remaja berusia 10 hingga 19 tahun, dan dalam konteks ini, murid darjah 4, 5 dan 6 adalah tergolong dalam kumpulan remaja.

“Mereka juga layak menjawab soalan tersebut, dengan syarat ia perlulah dipimpin oleh seorang anggota kesihatan yang bertugas. Mengikut prosedur menjawab soalan saringan kesihatan ini, ia perlu dipimpin oleh seorang anggota mahu pun pegawai kesihatan sendiri secara terpimpin, bukannya jawab di rumah,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Tambahnya, dalam proses pelaksanaan ini, pihaknya akui terdapat kelemahan yang  dilakukan oleh anggota kesihatan itu sendiri, yang mana membenarkan soalan itu dibawa pulang.

Jelasnya, sepatutnya soalan itu hanya boleh dijawab di sekolah sahaja, dan perlu diserahkan kepada anggota kesihatan yang bertugas serta-merta.

“Walau bagaimana pun, saya sudah menegur pegawai yang terlibat, dan siasatan lanjut mengenainya sedang dilakukan, selain membawa perkara ini kepada pihak atasan bagi meminta soalan-soalan yang dikemukakan di borang tersebut dikaji semula,” katanya.

Menurutnya, soalan ini juga dijawab oleh pelajar sekolah menengah negeri ini, bagi memastikan sasaran untuk mencapai lima peratus remaja yang menjawab kajian saringan kesihatan ini dapat dilaksanakan secara menyeluruh.

“Ada kebaikan soalan-soalan sebegini dibuat, kerana kita dapat mengenal pasti remaja yang bermasalah sekali gus membantu mereka sejak dari awal lagi.

“Kita yakin, walau pun tidak dapat mengawal kelakuan mereka, namun sekurang-kurangnya kita dapat membantu mereka yang terbelenggu dengan masalah sebegini,” katanya.

Kelmarin, Sinar Harian melaporkan murid di beberapa buah sekolah rendah di Nilai perlu mengisi dan menjawab borang soal selidik berunsur seks, yang didakwa tidak sesuai dengan umur mereka, sekali gus membangkitkan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa.

Sumber : Sinar Harian

Friday, February 7, 2014

Soalan seks untuk murid sekolah? - Melaka & NS - Sinar Harian

SEREMBAN - Soalan berunsur seks dalam borang soal selidik yang diedarkan kepada murid sekolah rendah di Nilai mendorong dua wakil rakyat membuat aduan sekali gus menuntut tindakan Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, semalam.   

Adun Nilai, J Arul Kumar yang hadir bersama Adun Senawang, P Gunasekaran, mempersoalkan apa relevannya soalan berkaitan keguguran kandungan, kaedah mencegah kehamilan, penukaran jantina, masturbasi, bertukar-tukar pasangan dan hubungan seks luar tabii ditanya kepada murid sekolah rendah.


"Soalan seperti ini tidak sepatutnya ditanya kepada murid sekolah rendah," kata Arul Kumar.


Beliau turut menunjukkan borang soal selidik itu yang antara soalannya ialah 'Saya mempunyai keinginan seks terhadap (a) kaum (jantina) sejenis (b) keinginan untuk menjadi berlainan jantina'.


Satu lagi soalan, 'saya pernah melakukan perkara-perkara berikut (a) membaca/ menonton bahan-bahan lucah (b) melancap/ masturbasi (merangsang diri sendiri secara seksual).


Sinar Harian difahamkan, borang soal selidik itu diedarkan di sekolah-sekolah di negeri ini.
Menurutnya,  beliau dimaklumkan mengenai perkara itu Jumaat lalu oleh ibu bapa murid tahun empat yang bimbang persoalan yang dibangkitkan dalam soal selidik itu mencemarkan pemikiran anak mereka.

“Setelah diteliti, kita dapati soalan pada halaman tiga itu memang tidak sepatutnya diajukan kepada murid sekolah rendah. Kita pun hairan bagaimana pihak berkenaan boleh terfikir untuk menyoal selidik budak sekolah rendah dengan soalan seperti itu.


“Cuba bayangkan, apa yang kanak-kanak ini faham tentang keguguran kandungan, kaedah pencegahan kehamilan, penukaran jantina, masturbasi, bertukar-tukar pasangan dan hubungan seks luar tabii,” katanya.


Arul Kumar berkata,  tidak timbul masalah jika soalan itu diajukan kepada golongan remaja, khususnya pelajar sekolah menengah memandangkan topik dibangkitkan bersesuaian dengan mereka untuk tujuan kesedaran.


“Ibu bapa itu sendiri kata kepada saya, mereka serba salah apabila anak-anak yang masih kecil ini balik bertanya kepada mereka soalan-soalan yang mereka sendiri tak boleh nak jawab. Pada saya, perkara seperti ini boleh dedahkan anak-anak kepada perkara yang mereka tak sepatutnya tahu lagi pada peringkat usia itu," katanya.


Sehubungan itu, Arul Kumar minta Jabatan Pendidikan negeri mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan insiden sama tidak berulang.


“Kita harap Jabatan Pendidikan negeri memandang serius perkara ini kerana mengikut maklumat diterima, dipercayai kaji selidik berkenaan bukan saja diedarkan di sekolah terbabit, malah di semua jenis sekolah rendah di negeri ini sejak tahun lalu.


“Bagaimanapun, kita terpaksa menanti sehingga hari ini (semalam) untuk bertindak selepas mendapat bukti mencukupi,” katanya.


Sementara itu, Pengarah Pendidikan negeri, Datuk Kalsom Khalid ketika dihubungi Sinar Harian berkata, siasatan awal pihaknya mendapati, kaji selidik berkenaan dibuat klinik kesihatan berdekatan tanpa pengetahuan dan kebenaran Jabatan Pendidikan negeri.


"Setakat ini, kita tak pasti berapa banyak yang sudah diedarkan dan sekolah mana terlibat.


"Buat permulaan kita minta pengurusan sekolah yang menerima borang kaji selidik ini supaya menghentikan pengedarannya," katanya.


Kalsom berkata, pihaknya akan membuat siasatan lebih lanjut sebelum sebarang tindakan diambil.

Sumber : Sinar Harian

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...