Saturday, February 8, 2014

Isu soalan seks: Langkah cegah masalah sosial

SEREMBAN – Soalan kaji selidik yang diedarkan di sekolah rendah merupakan sebahagian daripada program Saringan Kesihatan Remaja, yang dibangunkan oleh Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga (PKK) Kementerian Kesihatan Malaysia, dan bukanlah satu kajian semata-mata.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Datuk Dr Zailan Adnan berkata, soalan yang dibuat itu disediakan sendiri oleh pakar dalam bidang masing-masing, bagi mencegah masalah sosial yang berlaku dalam kalangan remaja di negara ini.

Katanya, hasil daripada soal selidik itu, pihaknya akan mengambil tindakan bagi membantu pelajar bermasalah, mengikut keperluan masing-masing, sama ada berjumpa dengan Pakar Kaunseling, mahupun dirujuk kepada Pakar O&G atau Pakar Sakit Puan.

“Soalan saringan kesihatan yang dikemukakan itu bukanlah sesuatu yang luar biasa kerana ia dilaksanakan dan diguna pakai di seluruh negara sejak tiga tahun lalu, oleh Kementerian Kesihatan, bukan di Negeri Sembilan sahaja.

“Namun ingin saya tegaskan, soalan ini hanya dijawab oleh remaja berusia 10 hingga 19 tahun, dan dalam konteks ini, murid darjah 4, 5 dan 6 adalah tergolong dalam kumpulan remaja.

“Mereka juga layak menjawab soalan tersebut, dengan syarat ia perlulah dipimpin oleh seorang anggota kesihatan yang bertugas. Mengikut prosedur menjawab soalan saringan kesihatan ini, ia perlu dipimpin oleh seorang anggota mahu pun pegawai kesihatan sendiri secara terpimpin, bukannya jawab di rumah,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Tambahnya, dalam proses pelaksanaan ini, pihaknya akui terdapat kelemahan yang  dilakukan oleh anggota kesihatan itu sendiri, yang mana membenarkan soalan itu dibawa pulang.

Jelasnya, sepatutnya soalan itu hanya boleh dijawab di sekolah sahaja, dan perlu diserahkan kepada anggota kesihatan yang bertugas serta-merta.

“Walau bagaimana pun, saya sudah menegur pegawai yang terlibat, dan siasatan lanjut mengenainya sedang dilakukan, selain membawa perkara ini kepada pihak atasan bagi meminta soalan-soalan yang dikemukakan di borang tersebut dikaji semula,” katanya.

Menurutnya, soalan ini juga dijawab oleh pelajar sekolah menengah negeri ini, bagi memastikan sasaran untuk mencapai lima peratus remaja yang menjawab kajian saringan kesihatan ini dapat dilaksanakan secara menyeluruh.

“Ada kebaikan soalan-soalan sebegini dibuat, kerana kita dapat mengenal pasti remaja yang bermasalah sekali gus membantu mereka sejak dari awal lagi.

“Kita yakin, walau pun tidak dapat mengawal kelakuan mereka, namun sekurang-kurangnya kita dapat membantu mereka yang terbelenggu dengan masalah sebegini,” katanya.

Kelmarin, Sinar Harian melaporkan murid di beberapa buah sekolah rendah di Nilai perlu mengisi dan menjawab borang soal selidik berunsur seks, yang didakwa tidak sesuai dengan umur mereka, sekali gus membangkitkan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa.

Sumber : Sinar Harian

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...