Wednesday, November 10, 2010

Getah naik harga, pekebun raih RM4,000 sebulan

KUALA LUMPUR - Harga getah SMR20 yang mencatat paras tertinggi dalam sejarah negara kelmarin membolehkan kira-kira 350,000 keluarga pekebun kecil getah mendapat keuntungan kasar sekurang-kurangnya RM4,000 sebulan.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, getah SMR20 yang mencatat harga RM12.44 sekilogram itu menunjukkan trend yang melonjak sejak beberapa bulan lalu.

Katanya, peningkatan harga itu begitu memberangsangkan serta melonjak dengan begitu cepat berbanding harga pasaran empat bulan yang lalu iaitu kira-kira RM10 sekilogram.

"Antara harga komoditi yang stabil harganya yang kita dapat lihat adalah industri getah dan saya yakin harga getah ini akan terus melonjak naik.

"Peningkatan ini juga dapat menyumbang kepada pendapatan ekonomi negara sekali gus dapat membantu kira-kira 350,000 keluarga pekebun kecil getah mendapat keuntungan kasar sekurang-kurangnya RM4,000 sebulan," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Hari Inovasi dan Anugerah Kualiti RISDA 2010 di Ibu Pejabat RISDA di sini semalam.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi RISDA, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik dan Ketua Pengarah RISDA, Datuk Mohammad Izat Hasan.

Menurut Shafie, program tanam semula RISDA dengan peruntukan sebanyak RM217 juta pada tahun ini untuk kawasan seluas 131,528 hektar membabitkan 52,000 orang pekebun kecil getah.

Kata beliau, sehingga September lalu, seluas 96,215 hektar atau 73 peratus program berkenaan sudah dilaksanakan.

Sumber - Kosmo

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...