Monday, November 8, 2010

Graduan menganggur


KUALA LUMPUR - Hanya 1.8 peratus atau 700 graduan yang menganggur melebihi tempoh tiga tahun berbanding jumlah keseluruhan yang menganggur iaitu seramai 41,500 orang, sidang Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan berkata, mengikut kajian Tenaga Buruh, Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun lepas, sebanyak 2,100 atau 5.1 peratus menganggur antara satu hingga tiga tahun; 4,800 (11.6 peratus) menganggur antara enam bulan hingga setahun, manakala 12,600 (30.4 peratus) menganggur untuk tempoh tiga hingga enam bulan.



"Graduan yang menganggur kurang daripada tiga bulan pula dianggarkan seramai 21,200 atau 51.1 peratus daripada jumlah sisawazah menganggur seramai 41,500," katanya menjawab pertanyaan Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamed (BN-Sepang) berkenaan peratus graduan tempatan yang masih belum mendapat pekerjaan selepas satu hingga lima tahun menamatkan pengajian serta punca-puncanya.

Beliau berkata, kajian Kementerian Pengajian Tinggi pada tahun lepas memaklumkan antara faktor utama mereka gagal mendapat pekerjaan ialah akibat kurangnya permintaan terhadap bidang pengajian yang diperoleh, kurang kemahiran berkomunikasi serta kelemahan bertutur dan menulis dalam bahasa Inggeris.

"Selain itu kebanyakan majikan menetapkan pengalaman bekerja sebagai salah satu syarat pengambilan, enggan berhijrah dari kampung halaman serta mengharapkan gaji yang tinggi," katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...