Friday, December 17, 2010

Remaja di flat terdedah zina

KUALA LUMPUR – Remaja yang tinggal di kawasan flat kos rendah dikenal pasti antara mereka yang berisiko tinggi terdedah kepada perbuatan zina dan pembuangan bayi.

Ketua Sub-Unit Seksualiti, Bahagian Reproduksi Manusia, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Dr. Hamizah Mohd. Hassan berkata, jarak rumah yang terletak berhampiran antara satu sama lain boleh mendorong kepada perbuatan tersebut.

“Mungkin disebabkan tinggal berdekatan, mereka terdedah melakukan seks bebas di rumah. Lebih-lebih lagi, apabila ibu bapa tiada di rumah kerana bekerja syif atau melakukan sehingga dua atau tiga pekerjaan,” katanya.

Thursday, November 25, 2010

Cadangan Sambungan LRT Laluan Kelana Jaya dan Ampang


Cadangan sambungan laluan LRT untuk Aliran Kelana Jaya akan bermula dari Lembah Subang - Pusat Perniagaan Kelana, melalui Subang, USJ, Alam Megah dan berakhir di hab Putra Heights. Cadangan laluan ini terdiri daripada 13 stesen baru dan landasan yang jaraknya hampir 17 km.

Cadangan sambungan laluan LRT untuk Aliran Ampang akan bermula dari Stesen Sri Petaling, melalui Puchong, Kinrara dan berakhir di hab Putra Heights. Cadangan laluan ini terdiri daripada 13 stesen baru dan landasan yang jaraknya hampir 17.7 km.

Kesemua stesen akan dilengkapi dengan kemudahan seperti lif, eskalator, telefon awam, surau dan tandas awam. Stesen-stesen juga menyediakan kemudahan untuk golongan kurang upaya (OKU) seperti 'ramp', lif, 'tactile', kaunter tiket berparas rendah dan tandas awam.

Kelana Jaya Line Extension Stations (sila klik gambar di atas untuk melihat lebih jelas)
Kelana Jaya/Lembah Subang 
STN01 - Subang Depot (opposite D’Aman Crimson Condos)
STN02 - Dana 1 Commercial Centre (north side of Subang Airport Road)
STN03 -Kelana Jaya Centre Point (built on Airport Road with a multi-storey carpark)

Subang Jaya
STN04 - Subang Jaya KTM (built over the KTM station + multi-storey car park)
STN05 - SS15 Subang Jaya (opposite Nasi Kandar Pelita)
STN06 - SS18 Subang Jaya (opposite SS14 commercial centre)

UEP Subang Jaya
STN07 - USJ7 (opposite Goodyear Court 1 &2 with multi-storey carparks)
STN08 - USJ8 (opposite Goodyear Court 3)
STN09 - USJ14 (near Sekolah Wawasan & USJ19 Digital Mall)
STN10 - USJ 21 (opposite Tropika Paradise Condo with multi-storey carparks)

Putra Heights/Alam Megah 

STN11 - Putra Heights / Alam Megah 1
STN12 - Putra Heights / Alam Megah 2
STN13 - Putra Heights Commercial Centre(interchange with Ampang line)

Ampang Line Extension Stations
(sila klik gambar di atas untuk melihat lebih jelas)
 
STN01 - Bukit OUG/Awan Besar
STN02 - PPR Kg. Muhibbah

Bandar Kinrara
STN03 - Bandar Kinrara 1 & 6
STN04 - Bandar Kinrara 2 & 5
STN05 - TBK & Bandar Kinrara 3
 
Puchong
STN06 - IOI Mall
STN07 - Tesco (Bandar Puteri)
STN08 - Rakan Muda
STN09 - Batu 12 (Tractor’s Malaysia)
STN10 - Puchong Perdana
STN11 - Puchong Prima
STN12 - Kampung Tengah (the integrated depot will be here)
STN13 - Putra Heights (interchange with Kelana Jaya Line)


Untuk maklumbalas dan rujukan, sila klik ke http://www.lrtextension.com/ 


Wednesday, November 24, 2010

Gaji Bulanan Perdana Menteri

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri menerima gaji bulanan sebanyak RM22,826.65 mengikut Akta Ahli Parlimen (Saraan) (Pindaan) 2005 yang dikuatkuasakan mulai 1 Januari 2004.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, Timbalan Perdana Menteri pula dibayar RM18,168.15 manakala jemaah menteri menerima RM14,907.20.

"Gaji bulanan setiausaha politik sebagaimana yang ditetapkan dalam Ketentuan Saraan Setiausaha Politik 1980 adalah RM5,709.99 yang juga berkuat kuasa pada 1 Januari 2004," katanya pada Persidangan Dewan Rakyat di sini semalam.

Tuesday, November 23, 2010

3,000 tandas awam kotor

KUALA LUMPUR - Walaupun pelbagai langkah diambil bagi meningkatkan kebersihan tandas awam, satu audit menunjukkan 3,000 daripada 5,764 tandas di seluruh negara adalah kotor.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Chor Chee Heung berkata, audit menerusi kaedah penarafan oleh Pihak Berkuasa Tempatan menunjukkan 51.6 peratus daripada tandas awam hanya mampu mencapai tahap satu atau dua bintang, dan hanya tujuh peratus atau kira kira 400 tandas yang mencapai taraf lima bintang, iaitu kebersihan paling memuaskan.

"Daripada data tersebut, nampaknya masih jauh lagi perjalanan kita untuk mencapai tahap tandas awam yang baik,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Sambutan Hari Tandas Sedunia dan Seminar Kesihatan Persekitaran Peringkat Kebangsaan 2010 di sini hari ini.

Bagi memastikan tandas di premis-premis awam tidak terus kotor, Chee Heung berkata, tindakan penguatkuasaan oleh PBT terhadap mana-mana premis awam yang tandasnya terlampau kotor akan diperketatkan lagi mulai tahun depan, antaranya membuat pemeriksaan mengejut dua kali setahun, di samping pemeriksaan biasa.

Monday, November 22, 2010

Urusniaga bernilai RM300,000 lesap di Internet sebulan

*"BUKAN semua penjualan dalam talian merupakan penipuan tetapi jika pengguna tidak berhati-hati mereka menjadi mangsa."

KUALA LUMPUR – Para pembeli pelbagai barangan secara dalam talian melalui Internet di negara ini mengalami kerugian di antara RM200,000 hingga RM300,000 setiap bulan gara-gara tertipu dengan sindiket perniagaan yang sebenarnya tidak wujud.

Presiden Persatuan Pembekal Kandungan Mudah Alih, Azli Paat yang mendedahkan perkara itu berkata, jumlah tersebut berdasarkan lima hingga 10 peratus daripada keseluruhan transaksi urus niaga yang dibuat menerusi pelbagai kaedah pembayaran seperti kad kredit, perbankan Internet atau bayaran secara bersemuka bernilai RM2.5 juta hingga RM3 juta setiap bulan.

Setiap hari, rakyat di negara ini berbelanja kira-kira RM100,000 untuk membeli pelbagai produk secara dalam talian di Internet.

Sunday, November 21, 2010

Jumlah orang miskin di Selangor membimbangkan

PETALING JAYA 20 Nov. - Kerajaan pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor sekali lagi digesa meningkatkan bantuan kepada rakyat miskin dan golongan kurang bernasib baik di negeri itu.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil (gambar) bimbang golongan itu tidak mendapat pembelaan serta bantuan sewajarnya berdasarkan jumlah peruntukan yang dikeluarkan kerajaan negeri.

Menurutnya, setakat ini Kerajaan PKR Selangor hanya membelanjakan RM14.6 juta untuk membantu 8,007 penduduk miskin berbanding RM98.7 juta yang dibelanjakan oleh Kerajaan Persekutuan untuk membantu 35,342 keluarga miskin termasuk orang kurang upaya (OKU), warga emas dan kanak-kanak di negeri itu.

"Kalau kementerian dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tidak menampung kebajikan golongan miskin di Selangor, mereka akan berada pada tahap berbahaya kerana tidak mendapat pembelaan.

"Jumlah orang miskin di Selangor amat membimbangkan tetapi pembelaan daripada kerajaan negeri terlalu kecil. Justeru saya minta supaya jumlah bantuan itu ditingkatkan.

Saturday, November 20, 2010

Undang-Undang lemah halang pampasan pekerja

KUALA LUMPUR - Pekerja di negara ini kerugian berjuta-juta ringgit setiap tahun apabila perintah pembayaran yang dibuat oleh Mahkamah Buruh dan Industri tidak mempunyai sebarang nilai kerana ia tidak dapat dikuatkuasakan kerana terdapat kelemahan pada Akta Syarikat 1965.

“Selalunya, perintah berkenaan hanya wujud di atas kertas, terutama apabila sesebuah syarikat diubah namanya, sudah tidak aktif atau sudah gulung tikar.

"Dalam keadaan begini, perintah pembayaran itu tidak dapat dikuatkuasakan dan pekerja terbabit tidak mendapat apa yang sepatutnya mereka dapat, tapi tiada apa yang boleh dilakukan," kata Naib Presiden MTUC, A. Balasubramaniam.

Beliau berkata, dalam kes di mana syarikat terbabit dikenakan penggulungan, keutamaan akan diberi kepada pemiutang, manakala tuntutan pekerja paling sedikit diberi perhatian.

Sehubungan itu, Balasubramaniam berkata, tidak lama lagi MTUC akan mengadakan perjumpaan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia untuk mendapatkan pembelaan bagi para pekerja malang itu.

Beliau berkata, MTUC mahu suruhanjaya tersebut yang menjadi satu-satunya badan pengawal selia, bertanggungjawab mendaftar dan mengawasi perjalanan syarikat.

Friday, November 19, 2010

Facebook laman paling popular

KUALA LUMPUR - Laman sosial, Facebook merupakan laman web paling popular di Malaysia pada bulan Oktober dengan lebih 8 juta rakyat Malaysia menggunakannya, kata Persatuan Digital Malaysia (MDA).

MDA dalam mengukur laporan kedudukan laman web Malaysia untuk bulan itu berkata, blog tempatan dan forum seperti Lowyat, Cari dan Fooyoh adalah antara yang paling tinggi dilawati.

"Blog dan forum mendapat perhatian pelayar online untuk tempoh yang lama dengan purata 13:38 minit untuk satu sesi. Ini lebih panjang daripada purata tempoh yang digunakan untuk kategori lain.

Thursday, November 18, 2010

Tarikh 13 Mei tidak perlu jadi hari diingati - PM

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, tidak perlu untuk menjadikan peristiwa 13 Mei sebagai hari untuk diperingati.

“Tidak perlu sebab 13 Mei ini kita jadikan satu peristiwa dalam lipatan sejarah sebagai iktibar, sebagai sempadan untuk kita supaya ia tidak berulang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan sidang video bersama masyarakat dan penuntut Malaysia di enam negara sempena Hari Raya Aidiladha di kediaman rasminya di Seri Perdana di sini semalam.

Wednesday, November 17, 2010

Bulan madu kedua atasi masalah perceraian - YTK

KUALA TERENGGANU - Suami isteri yang bermasalah disaran mencuba program 'bulan madu kedua' anjuran Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) Terengganu yang terbukti bukan sahaja membuatkan peserta program itu membatalkan hasrat untuk bercerai malah kini menikmati kehidupan berkeluarga yang lebih bererti.

"Malah ada antara pasangan terpilih mengikuti program ini datang ke pejabat mengucapkan terima kasih, memberitahu hidup mereka lebih bahagia kini," kata Pengarah YPK Terengganu, Shafaruddin Mustaffa ketika ditemui di sini semalam.

Beliau berkata, YPK terdorong untuk menganjurkan program itu tahun lepas setelah mendapati angka perceraian di Terengganu semakin meningkat terutamanya dalam kalangan pasangan muda.

Menurut beliau, statistik perceraian melibatkan pasangan yang baru lima tahun berkahwin agak merungsingkan.

Sumber - Kosmo

Tuesday, November 16, 2010

Lebih separuh orang Malaysia hidap obesiti

KUALA LUMPUR - Tiga puluh peratus penduduk di negara ini mempunyai berat badan berlebihan manakala 30 peratus lagi obes.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, ia merangkumi semua peringkat umur dan jumlah kanak-kanak yang alami masalah kegemukan meningkat.

Fenomena ini membimbangkan kerana ia berkaitan dengan peningkatan risiko penyakit seperti diabetes, sakit jantung, buah pinggang, darah tinggi dan barah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Ahli Lembaga Pelawat Hospital 2010 di sini semalam.

Monday, November 15, 2010

Cadangan Sambungan LRT Kelana Jaya, Ampang Dipamer Mulai Selasa

KUALA LUMPUR, 14 Sept 2009 -- Syarikat Prasarana Negara Bhd (Prasarana) mencadangkan sambungan baru bagi dua jajaran Transit Aliran Ringan (LRT) bagi jajaran Kelana Jaya dan Ampang yang dianggarkan bernilai RM7 bilion.

Pengarah Urusannya, Datuk Idrose Mohamed berkata cadangan sambungan LRT Ampang Line akan bermula dari stesen Sri Petaling, melalui kawasan Kinrara dan Puchong sebelum berakhir di Putra Heights, yang meliputi jarak 17.7 km dan 13 stesen baru.

Sementara sambungan Kelana Jaya bermula dari stesen Kelana Jaya, melalui kawasan Subang Jaya dan USJ sebelum berakhir di Putra Heights, yang meliputi jarak 17 km dan 13 stesen baru.

Sunday, November 14, 2010

Ibu bapa paling ramai kaki dera - Shahrizat

PETALING JAYA - Jabatan Kebajikan Masyarakat menerima sebanyak 1,010 laporan kes dera terhadap kanak-kanak dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini dengan 808 kejadian melibatkan ibu bapa mendera anak sendiri.

Jumlah itu bermakna setiap hari lapan orang kanak-kanak menjadi mangsa kes seperti penderaan fizikal, emosi, seksual, sumbang mahram dan buang bayi.

Daripada angka yang dilaporkan, saudara-mara mangsa juga banyak terlibat dengan laporan 270 kes diikuti dengan teman lelaki si ibu (270).

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, kecenderungan masyarakat bertindak kejam terhadap kanak-kanak sudah sampai ke tahap membimbangkan.

Saturday, November 13, 2010

Seorang sembelih 1,000 ekor ayam

SELAYANG - Hanya seorang tukang sembelih ditugaskan untuk menyembelih sebanyak 1,000 ekor ayam dalam tempoh sehari.

Fakta ini mungkin boleh mengundang rasa takjub namun hakikatnya apabila dinilai daripada sudut hukum syarak, ia boleh menimbulkan keraguan khususnya melibatkan kualiti penyembelihan yang mungkin menyebabkan ayam disembelih dikira bangkai.

Itulah hasil penemuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada pemeriksaan terhadap lima buah premis pusat penyembelihan berdekatan Pasar Borong Selayang di sini awal pagi kelmarin.

Friday, November 12, 2010

7.5 juta pemilik akaun Facebook

KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia merupakan antara pengguna aplikasi rangkaian sosial Facebook, Friendster dan Twitter yang tertinggi di dunia.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, dianggarkan terdapat 7.5 juta pemilik akaun Facebook di Malaysia kini.

“Ini adalah potensi rakyat yang harus digunakan oleh industri dalam bidang ini untuk memajukan negara khususnya menerusi kandungan mudah alih.

Thursday, November 11, 2010

TBM percepat projek salur air mentah Pahang ke Selangor

HULU LANGAT - Kerajaan yakin projek penyaluran air mentah dari Pahang ke Selangor akan siap dalam tempoh yang ditetapkan iaitu menjelang pertengahan tahun 2014.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui berkata, penggunaan mesin pengorek terowong khas atau Tunnel Boring Machine (TBM) berupaya mempercepatkan kerja-kerja mengorek terowong penyaluran air itu.

Wednesday, November 10, 2010

Getah naik harga, pekebun raih RM4,000 sebulan

KUALA LUMPUR - Harga getah SMR20 yang mencatat paras tertinggi dalam sejarah negara kelmarin membolehkan kira-kira 350,000 keluarga pekebun kecil getah mendapat keuntungan kasar sekurang-kurangnya RM4,000 sebulan.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, getah SMR20 yang mencatat harga RM12.44 sekilogram itu menunjukkan trend yang melonjak sejak beberapa bulan lalu.

Katanya, peningkatan harga itu begitu memberangsangkan serta melonjak dengan begitu cepat berbanding harga pasaran empat bulan yang lalu iaitu kira-kira RM10 sekilogram.

Tuesday, November 9, 2010

Kecuaian bank semakin serius

KUALA LUMPUR - Sejak tiga tahun lalu, Bank Negara Malaysia (BNM) mendapati jumlah pertanyaan serta aduan berkaitan isu-isu melibatkan bank dan institusi kewangan di negara ini meningkat dengan ketara.

Rekod BNM memperlihatkan jumlah aduan dan pertanyaan pada tahun 2008 berjumlah 133,439 sebelum meningkat mendadak sebanyak 90.2 peratus kepada 253,801 pada tahun 2009.

Bermula dari Januari hingga Mei tahun ini, sebanyak 117,554 pertanyaan serta aduan telah dicatatkan, meningkat berbanding 103,222 bagi tempoh yang sama tahun lalu.

Pengarah Jabatan Komunikasi Korporat BNM, Abu Hassan Alshari Yahaya berkata, antara aduan yang diterima ialah berkaitan kesukaran mendapat pembiayaan, penstrukturan dan penjadualan pinjaman, penipuan dan pengeluaran wang tanpa kebenaran, yuran dan caj, tidak puas hati dengan tawaran dan penyelesaian serta tingkah laku ejen.

Monday, November 8, 2010

Graduan menganggur


KUALA LUMPUR - Hanya 1.8 peratus atau 700 graduan yang menganggur melebihi tempoh tiga tahun berbanding jumlah keseluruhan yang menganggur iaitu seramai 41,500 orang, sidang Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan berkata, mengikut kajian Tenaga Buruh, Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun lepas, sebanyak 2,100 atau 5.1 peratus menganggur antara satu hingga tiga tahun; 4,800 (11.6 peratus) menganggur antara enam bulan hingga setahun, manakala 12,600 (30.4 peratus) menganggur untuk tempoh tiga hingga enam bulan.

Sunday, November 7, 2010

9 tahun sebelum daftar haji kedua

MARANG - Jemaah haji yang mendaftar untuk kali kedua selepas baru pulang daripada menunaikan rukun Islam itu kini perlu menunggu sembilan tahun lagi sebelum nama mereka tersenarai semula.

Ini kerana Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) akan menyaring jemaah yang telah mengerjakan haji dalam tempoh sembilan tahun bagi memberi peluang kepada jemaah baru.

"Sistem ini dibuat bagi membolehkan bakal haji yang belum menunaikan haji mendapat kuota menunaikan rukun Islam kelima itu untuk kali pertama," kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim.

Saturday, November 6, 2010

Kedah kritikal, Perlis mula surut

ALOR SETAR – Keadaan banjir di Kedah semakin kritikal apabila jumlah penduduk yang dipindahkan meningkat kepada 39,783 orang berbanding 28,569 orang semalam manakala keadaan di Perlis semakin baik dengan jumlah mangsa di pusat pemindahan menurun kepada 11,965 orang daripada 15,027 orang semalam.

Di Kedah, jumlah penduduk yang dipindahkan meningkat di tiga daerah utama iaitu Kubang Pasu, Kota Setar dan Pendang.

Bagi daerah Kubang Pasu, jumlah penduduk yang dipindahkan meningkat kepada 21,111 orang manakala daerah Kota Setar seramai 16,436 orang dan Pendang pula 244 orang.

Friday, November 5, 2010

Perlis, Kedah hampir lumpuh

ALOR SETAR - Banjir yang melanda Perlis dan Kedah sudah mengatasi bencana yang sama pada 2005 apabila bilangan penduduk yang dipindahkan di kedua-dua negeri melebihi 16,000 orang dalam tempoh 24 jam menjadikan jumlah keseluruhan mangsa meningkat kepada 37,000 orang selain melumpuhkan rangkaian sistem pengangkutan darat dan udara.

Sewaktu banjir besar pada 2005, hanya seramai 21,000 orang dipindahkan di kedua-dua negeri tersebut.

Angka korban juga bertambah empat orang lagi semalam, menjadikan enam mangsa meninggal dunia akibat banjir setakat petang semalam.

Mangsa terbaru yang masih hilang ialah dua beradik berusia 13 tahun dan lapan tahun di Kedah, seorang remaja yang terjatuh di Terusan Arau, Kangar serta penemuan mayat budak perempuan berusia 12 tahun di Bachok, Kelantan.

Thursday, November 4, 2010

Harga RON 95 kekal tahun ini

KUALA LUMPUR - Pemilik kenderaan boleh berasa lega apabila harga minyak RON 95 dan diesel dijangka kekal masing-masing pada RM1.85 seliter dan RM1.75 sehingga hujung tahun ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (gambar kecil) berkata, jangkaan itu dibuat berikutan tiada perbincangan ke arah kenaikan harga kedua-dua jenis bahan api itu di peringkat Kabinet sehingga semalam.

Beliau berharap orang ramai tidak cepat panik apatah lagi dipengaruhi dengan kenaikan harga RON 97 sebanyak lima sen seliter kepada RM2.15 berkuat kuasa semalam.

"Kita dapat kawal harga RON 95 menerusi subsidi 22 sen setiap liter tetapi harga RON 97 berbeza kerana ia ditentukan oleh pasaran," kata beliau ketika dihubungi semalam.

Wednesday, November 3, 2010

Nombor telefon baru 11 digit mulai bulan depan

CYBERJAYA - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan memperkenalkan format baru nombor telefon mudah alih dengan 11 digit berkuat kuasa 15 Disember ini.

Pengarah Jabatan Perancangan Nombor, Norizan Ghazali berkata, format baru itu akan menggunakan struktur 3+8 berbanding 3+7 sedia ada dan semua penyedia perkhidmatan akan menggunakan awalan '011', sebagai contoh 011 1234 5678.

"Struktur sedia ada yang melibatkan 31 juta nombor tidak perlu berpindah kepada format baru 3+8 memandangkan kedua-duanya wujud seiring selepas penawarannya,'' katanya kepada pemberita selepas memberi taklimat mengenai format baru nombor telefon itu di sini semalam.

Tuesday, November 2, 2010

Tembusi terowong terpanjang di Asia

*"PARA pekerja mengibarkan Jalur Gemilang selepas berjaya meletupkan batu ketika majlis penembusan Terowong Berkembar Berapit bagi PLBE di Padang Rengas, Kuala Kangsar semalam."

PADANG RENGAS - Projek Landasan Berkembar Elektrik (PLBE) Ipoh-Padang Besar mencatat sejarah tersendiri apabila bahagian terakhir Terowong Berkembar Berapit (TBB) sepanjang 3.3 kilometer yang dibina di sini berjaya ditembusi semalam.

Bagaimanapun pembinaan TTB yang merupakan terowong landasan kereta api berkembar terpanjang di Asia Tenggara itu akan siap sepenuhnya pada penghujung tahun depan.

Monday, November 1, 2010

Ejen penipu beri harapan palsu

*"TAWARAN kerja di negara luar mungkin menarik, namun adakalanya penuh dengan penipuan."

KUALA LUMPUR – Kadar tukaran mata wang asing yang tinggi menjadi satu daya penarik yang kuat kepada rakyat negara ini untuk memilih bekerja di negara asing.

Bayangkan, menjadi pengawal keselamatan di Singapura umpamanya, gaji yang ditawarkan mampu mencecah RM4,000. Pastinya ia satu jumlah imbuhan bulanan yang sukar diperoleh di negara ini.

Berdasarkan satu kajian oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU) dengan kerjasama Universiti Boston, Amerika Syarikat, dianggarkan seramai 785,000 warga Malaysia tinggal dan bekerja di luar negara terutamanya di Singapura sehingga awal tahun lalu.

Sunday, September 19, 2010

Patmanaban simpan wanita asing

KUALA LUMPUR - Peguam K. Patmanaban yang tahanan remannya dilanjutkan sehingga 25 September ini didapati menyimpan dua pekerja wanita warga asing yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Dua wanita terbabit ialah seorang wanita warga Indonesia dan seorang rakyat Filipina berusia lingkungan 30-an.

Kedua-dua wanita itu dipercayai diambil bekerja oleh Patmanaban sebagai pembantu rumah yang menguruskan semua kerja rumah di ladang ternakan ayam dan kambing di Ladang Gadong, Tanjung Sepat, Banting. Ladang Gadong ialah lokasi jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya bersama tiga rakannya dibunuh.

Saturday, September 18, 2010

Taktik Lupus Bahan Bukti

PERISTIWA pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, 47, dan tiga individu lain di Ladang Gadong dekat Tanjung Sepat, Banting, Selangor telah menyentak perasaan jutaan rakyat Malaysia.

Pembunuhnya dianggap kejam dan bersifat kebinatangan. Kesemua mangsa dipercayai dibunuh seorang demi seorang menggunakan besi pencangkuk dan tikaman bertubi-tubi pada perut.

Mayat mereka kemudian dibakar manakala abu mayat dibuang ke dalam sungai berhampiran.

Turut dibunuh bersama Sosilawati ialah pemandu peribadi, Kamaruddin Shansudin, 44, peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38.

Friday, September 17, 2010

Kes Sosilawati tiada unsur perkauman

BANTING – Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar yang baru memegang tampuk kepimpinan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam berkata, siasatan kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lelaki lain dilakukan tanpa sebarang unsur perkauman.

“Kes siasatan Sosilawati adalah kes jenayah biasa kerana ada penjenayah dan ada mangsa,” kata beliau pada sesi dialog bersama pemimpin masyarakat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di sini semalam.

Thursday, September 16, 2010

Tiada pembunuh upahan terlibat

KUALA LUMPUR - Pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, 47, dan tiga yang lain tiada kaitan dengan kumpulan pembunuh upahan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Zinin berkata, pihaknya setakat ini percaya pekerja-pekerja kepada seorang lelaki bergelar Datuk terlibat secara langsung dalam pembunuhan empat mangsa itu.

Wednesday, September 15, 2010

Penyelam temui zink pelapik mayat

BANTING - Pasukan penyelam polis semalam menemui enam keping zink di dasar Sungai Kanchong Laut di Kampung Endah, Ladang Gadong, Tanjung Sepat disini yang dipercayai dijadikan sebagai pelapik untuk membakar mayat Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya. 

Bahan bukti itu ditemui selepas tiga suspek yang dibawa ke sungai itu menunjukkan lokasi zink-zink tersebut dibuang selepas selesai membakar mayat Sosilawati dan rakan-rakannya.

Tuesday, September 14, 2010

Sosilawati dikebumi di kampung

BATU PAHAT - Keluarga arwah Datuk Sosilawati Lawiya, 47, berhasrat untuk mengebumikan jutawan kosmetik di kampungnya, di Kampung Seri Menanti, Sri Medan di sini.

Adik iparnya, Misjan Jamikan, 48, berkata, perkara tersebut telah dibincangkan bersama ahli keluarga termasuk anak-anak arwah di Kuala Lumpur malam kelmarin.

"Saya mahu arwah disemadikan dengan sempurna dan kematian itu perlu ada tanda (kubur) agar kami boleh menziarahinya.

Monday, September 13, 2010

4 mengaku bunuh, bakar Sosilawati

BANTING - Empat pekerja ladang buah-buahan dan ternakan milik seorang peguam bergelar Datuk mengaku terlibat membunuh dan membakar Datuk Sosilawati Lawiya, 47, dan tiga lelaki bersama jutawan kosmetik itu di Ladang Gadong, Tanjung Sepat di sini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Zinin berkata, berdasarkan pengakuan empat daripada lapan lelaki yang ditahan reman itu, polis kemudian berjaya menemui lokasi empat mangsa yang dipercayai ditahan, dibunuh dan dibakar di ladang ternakan tersebut.

Sunday, September 12, 2010

Sosilawati, tiga lagi mati disah dibunuh

BANTING – Polis mengesahkan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, 47, dan tiga orang lagi mati dibunuh dan kesemua mayat mereka dibakar sebelum abunya dibuang di sebuah sungai berhampiran Ladang Gadong, Tanjong Sepat di sini.

Bagaimanapun, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Zinin berkata, polis masih perlu mendapatkan pengesahan forensik untuk mengesahkan sepenuhnya perkara tersebut.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Daerah Banting di sini hari ini.

Saturday, September 11, 2010

Mayat dibakar di ladang ayam

KUALA LUMPUR – Empat mayat dipercayai termasuk jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya (gambar) dan tiga rakannya yang dilaporkan hilang sejak 13 hari lalu ditemui dekat pantai Morib, Selangor semalam.

Kesemua mereka dibunuh dengan kejam sebelum dibuang dan dibakar di ladang ternakan ayam dekat Tanjung Layang, Morib.

Setakat ini polis sudah menahan enam individu berhubung penemuan mayat-mayat tersebut.

Friday, September 10, 2010

Anak-anak setia menunggu Sosilawati beraya di Gombak

Seorang lelaki yang mendakwa sebagai pekerja kepada jutawan kosmetik itu berkata, buat masa ini anak-anak Sosilawati tidak mahu diganggu kerana mereka tertekan memikirkan nasib ibu mereka yang belum diketahui.

“Walaupun tidak ada khabar berita mengenai ibu mereka anak-anak Sosilawati masih mengharap mereka dapat raya bersama di rumah ini,” katanya yang enggan bercerita lanjut.

Thursday, September 9, 2010

Serangan laman web meningkat masa cuti raya

KUALA LUMPUR - Pemilik laman-laman web dinasihatkan mengambil langkah berjaga-jaga sepanjang musim perayaan kerana serangan laman web dijangka akan meningkat.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam satu kenyataan akhbar berkata, peningkatan serangan itu kerana kebanyakan laman web yang beroperasi tidak akan dipantau ketika musim perayaan.

"Pada tahun 2009 seperti contoh, serangan ke atas laman-laman web ini meningkat semasa cuti perayaan seperti Aidilfitri.

"Jadi pemilik-pemilik laman web harus meningkatkan ciri-ciri keselamatan dan aplikasi yang berkaitan bagi mengelakkan risiko digodam oleh pihak yang tidak bertanggungjawab," katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini semalam.

Wednesday, September 8, 2010

Polis percaya jutawan kosmetik masih selamat

SHAH ALAM - Polis percaya Datuk Sosilawati Lawiya yang dilaporkan hilang bersama tiga lelaki pada 30 Ogos lalu berada dalam keadaan selamat.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan (gambar) berkata, hasil pemeriksaan ke atas dua buah kereta yang dijumpai di Subang Jaya dekat sini malam kelmarin tidak menemui sebarang unsur mencurigakan.

"Kita sudah temui kereta mangsa dan setakat ini tiada tanda-tanda mencurigakan," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Perbarisan dan Perjumpaan Polis Selangor sempena persaraan beliau di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini semalam.

Tuesday, September 7, 2010

Penemuan beri petunjuk

SUBANG JAYA - Tanda tanya mengenai kehilangan Datuk Sosilawati Lawiya bersama tiga rakan semakin terurai misterinya apabila polis menemui dua buah kereta milik mereka yang menjadi petunjuk baru dalam siasatan pihak berkuasa itu.

Kereta milik Sosilawati jenis BMW X5 menggunakan nombor pendaftaran WTL 11 berwarna hitam ditemui di kawasan letak kereta Flat Angsana USJ1 di sini pukul 9.45 malam tadi oleh orang awam.

Monday, September 6, 2010

Jutawan kosmetik hilang bersama wang RM4 juta

KUALA LUMPUR - Jutawan kosmetik terkenal, Datuk Sosilawati Lawiya menimbulkan misteri apabila dia dan tiga yang lain dilaporkan hilang enam hari lalu selepas keluar dari sebuah pejabatnya di Kampung Baru di sini pada 30 Ogos lalu.

Turut hilang bersama Sosilawati yang merupakan pengarah urusan dan pengasas syarikat produk kecantikan Nouvelles Visage itu ialah seorang peguam, pegawai bank dan pemandu wanita itu.

Sunday, September 5, 2010

Siswa dinasihat hati-hati guna Facebook

JOHOR BAHRU - Kementerian Pengajian Tinggi menasihatkan mahasiswa supaya berhati-hati menggunakan laman sosial Facebook dan memastikan maklumat yang dikongsi tidak memudaratkan mereka.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (gambar) berkata, ini kerana laman sosial itu kini boleh dilihat sebagai 'menelanjangkan' cerita peribadi seseorang.

Selain itu, kegilaan menggunakan laman sosial itu untuk berinteraksi di kalangan masyarakat sekarang juga boleh disalah guna pihak tidak bertanggungjawab untuk menyamar sebagai individu tertentu, katanya kepada pemberita di sini semalam.

Saturday, September 4, 2010

Gereja gay tak diiktiraf

KUALA LUMPUR - Tindakan seorang paderi, Ouyang Wen Fang menubuhkan sebuah gereja pertama yang dikhususkan untuk golongan gay di negara ini ternyata kurang disenangi Majlis Gereja-Gereja Malaysia.

Setiausaha Agungnya, Dr. Hermen Shastri (gambar) berkata, cadangan Wen Fang itu tidak disenangi kerana ajaran agama Kristian sememangnya tidak mengiktiraf golongan gay.

"Saya berpandangan apa yang cuba dilakukan oleh paderi berkenaan adalah disebabkan dia terpengaruh dengan gereja untuk golongan gay yang telah dibina di beberapa buah negara di Barat seperti Amerika Syarikat.

Friday, September 3, 2010

Gereja gay pertama

KUALA LUMPUR - Seorang paderi di Malaysia, Ouyang Wen Fang mengumumkan bahawa dia sedang menubuhkan gereja gay pertama di negara ini.

Paderi berusia 40 tahun itu turut tidak mengendahkan amaran keras kerajaan supaya menghentikan rancangannya kerana bimbang ia akan menggalakkan gaya hidup homoseks di negara ini.

Amalan tersebut masih dikategorikan sebagai jenayah di Malaysia yang majoriti penduduknya beragama Islam manakala pelakunya berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun.

Namun, gereja gay yang diasaskan bersama oleh paderi itu telah beroperasi secara senyap di sini sejak tiga tahun lalu dengan dikunjungi kumpulan penganut Kristian gay untuk beribadat pada hari Ahad dan mengkaji kitab Injil.

Thursday, September 2, 2010

Pemilik premis tanggal logo halal

KUALA LUMPUR - Melihat pemeriksaan mengejut Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) terhadap sebuah premis makanan di sebuah medan selera di pusat beli-belah Pavillion di sini, beberapa pengusaha premis makanan lain bergegas menanggalkan logo dan sijil halal bukan diiktiraf jabatan itu dari dinding premis mereka.

Pengarah Cawangan Pemantauan dan Penguatkuasaan Bahagian Hab Halal Jakim, Amri Abdullah berkata, tindakan itu dipercayai untuk mengelak premis mereka diambil tindakan kerana menggunakan logo dan sijil halal yang bukan dikeluarkan Jakim.

Wednesday, September 1, 2010

Taktik baru elak ditangkap khalwat

SHAH ALAM – Sepasang kekasih membayar RM140 untuk menyewa dua bilik berasingan di sebuah hotel bajet di Bandar Sunway, Petaling Jaya dekat sini awal pagi semalam bagi mengelak daripada dikesan melakukan khalwat.

Bagi mengaburi pihak berkuasa, pasangan berasal dari pantai timur berusia 20-an itu mematikan pendingin hawa serta lampu bilik dan sanggup membuat maksiat di dalam bilik yang panas.

Wednesday, August 4, 2010

Negeri yang kian ‘dahaga’

ADAKAH Selangor akan menghadapi catuan air pada tahun 2014 jika negeri itu masih melengahkan projek penyaluran air dari Pahang?

Kerajaan negeri Selangor menafikan kemungkinan catuan itu berlaku dan mengatakan negeri itu mempunyai bekalan air yang cukup sehingga tahun 2019.

Tuesday, August 3, 2010

Segerakan penstrukturan air

PUTRAJAYA – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap semua negeri yang belum memuktamadkan rundingan penstrukturan semula bekalan air agar berbuat demikian dengan segera.

Beliau berkata, segala inisiatif yang diambil oleh kerajaan Persekutuan dalam penstrukturan semula industri bekalan air adalah bagi mempertingkatkan mutu perkhidmatannya demi kepentingan pengguna di seluruh negara.

“Bukti yang jelas dapat dilihat di negeri-negeri yang terlebih dahulu berhijrah ke rejim pelesenan baru iaitu Melaka, Negeri Sembilan dan Johor.

Monday, August 2, 2010

Batal lesen serta-merta

KUALA LUMPUR – Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Fuad Ismail memberi amaran akan membatalkan lesen tapak bazar Ramadan mana-mana peniaga yang didapati menjual tapak mereka kepada pihak ketiga.

Tegas beliau, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memandang serius aktiviti menjual tapak bazar Ramadan tersebut dan akan mengerahkan anggota penguat kuasa turun padang mulai hari pertama puasa.

“Kita akan mengambil tindakan tegas terhadap pemilik lesen tidak bertanggungjawab itu. Pihak ketiga yang membeli tapak itu bakal berputih mata.

Sunday, August 1, 2010

Ustaz tayang video lucah

REMBAU – Tugas seorang ustaz sepatutnya membimbing murid ke jalan benar melalui pembelajaran agama, tetapi perkara sebaliknya berlaku di sebuah sekolah kebangsaan dekat sini.

Sehubungan itu, seorang ustaz di sekolah itu dikatakan tergamak menayangkan video berunsur lucah kepada murid-muridnya.

Sehubungan itu, seorang bapa yang diberitahu oleh anaknya mengenai perangai buruk ustaz itu tampil membuat laporan polis pada Khamis lalu.

Friday, July 30, 2010

Liong Sik didakwa tipu kerajaan

PUTRAJAYA - Bekas Menteri Pengangkutan dan mantan Presiden MCA, Tun Dr. Ling Liong Sik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan menipu Kerajaan Malaysia dengan memperdaya Jemaah Menteri berhubung pembelian tanah untuk projek Mega Distribution Hub di Pelabuhan Klang.

Liong Sik, 67, yang memegang jawatan Menteri Pengangkutan selama 17 tahun dari Januari 1986 hingga Mei 2003 didakwa atas satu pertuduhan utama dan satu pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 418 dan Seksyen 417 Kanun Keseksaan.

Thursday, July 29, 2010

Pelaburan auta syarikat MLM

KUALA LUMPUR - Keghairahan golongan muda yang ingin mendapatkan keuntungan cara mudah melalui satu skim jualan langsung (MLM) dengan cara mencari orang bawahan yang mampu melabur sehingga RM41,000 musnah apabila mendapati mereka sebenarnya ditipu.

Modus operandi sindiket tersebut ialah dengan mengedarkan risalah di sekitar kawasan perniagaan dan perumahan di Subang Jaya. Risalah tersebut mengandungi kata-kata manis untuk mengecap kekayaan dengan usaha yang minimum.

Wednesday, July 28, 2010

32 anggota polis KL terlibat dadah

KUALA LUMPUR 28 Julai - Seramai 32 anggota polis dari kontinjen Kuala Lumpur ditahan kerana terlibat dalam kancah penyalahgunaan dadah sejak Januari tahun ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman berkata enam dari mereka telah ditamatkan perkhidmatan manakala yang lain telah digantung kerja sementara menunggu tarikh perbicaraan.

"Kami tidak berkompromi dengan mana-mana anggota mahupun pegawai yang terlibat dalam najis dadah dan tidak teragak-agak untuk menamatkan perkhidmatan mereka meskipun telah berkhidmat lama,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Kuala Lumpur di sini hari ini.

Tuesday, July 27, 2010

Kenderaan berat dilarang masuk lebuh raya


MULAI 2 Ogos ini kenderaan berat tidak dibenarkan melalui tiga lebuh raya di sekitar Lembah Klang pada waktu pagi bagi mengelak kesesakan lalu lintas.

KUALA LUMPUR - Kenderaan berat dilarang memasuki tiga lebuh raya di sekitar Lembah Klang dari pukul 6.30 pagi hingga 9.30 pagi mulai 2 Ogos ini bagi mengurangkan kesesakan.

Larangan tersebut membabitkan laluan Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE) antara Shah Alam dan Jalan Duta, Lebuh Raya Utara-Selatan antara Sungai Buloh dan Bukit Lanjan serta Lebuh Raya Persekutuan Laluan Dua antara Subang dan Sungai Rasau.

Monday, July 26, 2010

Tidak sedar sijil halal penting

STATUS halal penting untuk menarik pelanggan beragama Islam berbuka puasa di sesebuah hotel.

KUALA LUMPUR - Hotel-hotel bertaraf lima bintang yang dimiliki oleh pengusaha bukan Islam didakwa memiliki kesedaran yang minimum terhadap kepentingan untuk mendapatkan sijil halal bagi dapur mereka.

Pengarah Hab Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Saimah Mukhtar berkata, faktor itu merupakan penyebab nisbah hotel yang memiliki sijil halal ketika ini terlalu kecil berbanding jumlah keseluruhan hotel di negara ini.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...